KARNIVAL YAYASAN PRIHATIN SPRM “DENYUT NADI BERSAMA KOMUNITI” MERIAHKAN PANCHOR JAYA, SEREMBAN
Karnival yang julung kali dianjurkan ini menghimpunkan lebih 400 pengunjung masyarakat setempat di samping menyediakan pelbagai aktiviti berbentuk kebajikan, kesihatan, kekeluargaan dan kesedaran integriti. Penganjuran program ini turut menjadi manifestasi komitmen Yayasan Prihatin SPRM untuk mendekati masyarakat melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berteraskan kesejahteraan komuniti.
Delegasi Yayasan Prihatin SPRM diketuai oleh Tuan Zuhairie bin Abu Bakar, Pengerusi Yayasan Prihatin SPRM, bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA), Jawatankuasa Negeri serta ahli Yayasan Prihatin SPRM Negeri Sembilan itu turut menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh kemesraan dan kebersamaan.
Menurut Pengerusi Yayasan Prihatin SPRM, usaha Yayasan tidak hanya tertumpu kepada kebajikan warga kerja SPRM, malah turut diperluaskan kepada masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap agenda pencegahan rasuah.
“Yayasan Prihatin SPRM bukan sahaja memberikan bantuan kebajikan kepada warga kerja SPRM, tetapi turut meraikan dan membantu masyarakat serta komuniti yang sentiasa menyokong usaha-usaha SPRM dalam memperkukuh agenda pencegahan rasuah.”
Karnival ini menjadi platform penting untuk mempertemukan Yayasan dengan masyarakat secara lebih dekat. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan melibatkan semua peringkat umur, antaranya Pertandingan Memanah, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Karom dan Pertandingan Memasak, dengan penyertaan keseluruhan seramai 180 orang.
Selain aktiviti pertandingan, masyarakat turut berpeluang mendapatkan manfaat daripada Jualan Rahmah, saringan kesihatan percuma serta pelbagai reruai pameran yang disediakan oleh rakan strategik dan agensi kerajaan serta swasta yang terlibat.
Sebagai tanda keprihatinan dan sumbangan kepada komuniti setempat, Yayasan Prihatin SPRM turut menyumbangkan sebuah gazebo secara wakaf kepada pihak Masjid Al-Munawwarah untuk kegunaan jemaah dan pengunjung masjid. Turut disampaikan ialah 70 Bakul Prihatin kepada golongan asnaf serta 20 kotak kit jenazah untuk kegunaan pihak masjid dan komuniti.
Pengisian program turut diperkukuh menerusi Kuliah Zohor yang disampaikan oleh Sdr. Syamsul Debat, ikon dakwah dan motivasi Negeri Sembilan. Perkongsian beliau memberi penekanan terhadap aspek pengurusan dana awam, peranan masjid dalam mengurus dan mengagihkan sumbangan serta kepentingan amanah dan tanggungjawab dalam memastikan setiap dana yang diuruskan memberikan manfaat kepada masyarakat.
Penglibatan pelbagai rakan strategik seperti Co-opbank Pertama, Salam Hospital Senawang, KPDNHEP, JPJ, Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang serta agensi kerajaan dan swasta yang lain turut menyerlahkan semangat kerjasama rentas agensi dalam memperluas manfaat kepada masyarakat.
Kerjasama strategik ini bukan sahaja menghidupkan suasana karnival, malah menjadi medium untuk mendekatkan masyarakat dengan perkhidmatan kerajaan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan integriti, tadbir urus yang baik dan pencegahan rasuah dalam kehidupan seharian.
Penganjuran Karnival “Denyut Nadi Bersama Komuniti” membuktikan bahawa usaha membina masyarakat berintegriti tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan, sebaliknya perlu disemai melalui kebajikan, pendidikan, keprihatinan dan hubungan yang erat antara agensi kerajaan dengan masyarakat.
Melalui pendekatan ini, Yayasan Prihatin SPRM berhasrat untuk terus menjadi jambatan yang menghubungkan SPRM dengan masyarakat, sekali gus menyemai nilai integriti, amanah dan tanggungjawab sebagai budaya bersama.
Turut hadir ialah YB Datuk Haji Mohd Asna bin Amin, Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, yang turut bersama-sama masyarakat sebagai sebahagian daripada komuniti kariah. Turut hadir Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Taufik Putra bin Awg Ismail, serta Pengerusi Masjid Al-Munawwarah, Encik Azmi bin Yusof.